Lebih 3,000 pengunjung meriahkan grand final acara e-sukan kampus terbesar Malaysia di Sunway Pyramid

Kuala Lumpur, 29 April 2019 – Siri jelajah bagi mencari pasukan e-sukan institusi pengajian tinggi terbaik di seluruh negara bagi XPAX Kejohanan E-Sukan Kampus (KEK) 2019 yang pertama dan terbesar di Malaysia akhirnya tamat apabila acara kemuncak yang telah pun berlangsung di Ice Skating Rink, Sunway Pyramid hujung minggu lalu melabuhkan tirainya dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) muncul juara keseluruhan. Mereka menerima biasiswa bernilai RM 25,000, tajaan XPAX dalam usaha mereka memperkasa industri e-sukan tempatan.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) muncul juara untuk dua kategori permainan di mana pasukan Ultra Instinct berjaya mengungguli permainan Mobile Legends Bang Bang pada perlawanan akhir menewaskan pasukan UMSKAL daripada Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan sementara E-UKM FC mempamerkan aksi mantap dalam pertarungan akhir kategori Pro Evolution Soccer (PES 2019) mengalahkan GLHF dari Universiti Selangor (UNISEL). Bagi kategori Dota 2, pemain-pemain KISA dari Universiti Islam Antarabangsa Kuantan (IIUM Kuantan) berjaya bergelar juara menewaskan wakil zon selatan, Geng Bus Sekolah dari Universiti Multimedia Malaysia (MMU). Kesemua pemenang menerima sebahagian daripada hadiah terkumpul bernilai RM 180,000 termasuklah wang tunai, kredit e-wallet Boost dan baucar Lost World of Tambun.

Bagi kategori XPAX Hackathon, idea bernas pasukan Synapse dari Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) berjaya meyakinkan juri sekaligus muncul pemenang dan membawa pulang telefon bimbit Huawei Nova 4 serta tajaan pelan pascabayar  XPAX selama setahun.

Terdahulu, XPAX KEK telah memulakan siri jelajahnya bagi mencari pasukan-pasukan terbaik dari institusi pengajian tinggi tempatan di setiap zon bermula dari zon utara (Universiti Teknologi Petronas, Perak), zon selatan (UiTM Alor Gajah, Melaka), zon borneo (Universiti Malaysia Sabah, Sabah), zon sentral (UiTM Puncak Alam, Selangor) dan diakhiri zon timur (Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu).

Disokong oleh Kementerian Belia & Sukan (KBS), acara e-sukan kampus terbesar di Malaysia ini dianjurkan Media Prima Digital menerusi portal permainannya, MyGameOn serta rakan strategik Kitamen menawarkan hadiah tunai terkumpul berjumlah RM 180,000. Acara yang dicetuskan oleh XPAX ini menampilkan 3 permainan popular Mobile Legends Bang Bang, Pro Evolution Soccer 2019 (PES 2019) dan DOTA 2.

Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Digital, Encik Rafiq Razali berkata “Kami amat gembira dengan sambutan yang diterima di kesemua 5 lokasi zon final XPAX KEK. Semestinya, penganjuran acara e-sukan kampus terbesar  ini menjanjikan pengalaman yang berbeza bila mana kita berjaya mengumpulkan bakat-bakat e-sukan yang terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi itu sendiri. Yang pasti, semua ini takkan menjadi kenyataan tanpa komitmen yang diberikan penaja utama XPAX dalam memperkasa industri e-sukan negara. Tidak dilupakan, kerjasama pengurusan kampus yang terlibat adalah sangat penting dalam membangunkan industri e-sukan di Malaysia seterusnya membentuk ekosistem sihat yang boleh membudayakan konsep ‘Healthy Gaming’ dalam kalangan pelajar IPT di seluruh negara”.

Kejuaraan Grand Final XPAX Kejohanan E-Sukan Kampus 2019 turut dimeriahkan dengan kehadiran Yang Berhormat Tuan Mohd Khairuddin Bin Othman, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Negeri Selangor bersama-sama Surina Shukri, Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Sementara itu, Encik Danny Chew, Ketua Pegawai Perniagaan Konsumer & Kediaman, Celcom Axiata Berhad yang turut sama memeriahkan acara berkenaan berkata “Celcom melalui XPAX sangat teruja mempersembahkan KEK selari dengan aspirasi kami untuk menjadi penyedia rangkaian pilihan dalam memenuhi gaya hidup digital pelanggan kami terutamanya peminat e-sukan tanahair. Ia juga menyediakan belia Malaysia sebuah platform pemerkasaan di mana mereka boleh meningkatkan kemahiran mereka seterusnya menjadi pemacu di dunia permainan.”

XPAX KEK kali ini turut menyaksikan gabungan dua pengulas e-sukan popular tanahair, Radzi “Ikuto” Rahman dan Adam “Spartanker” Faiz memberikan ulasan mantap mereka untuk permainan Mobile Legends Bang Band. Pengunjung juga berpeluang mencuba pelbagai jenis permainan lain yang terdapat di XPAX KEK termasuklah Beat Saber dan F1 Racing Simulator.

Selain menyaksikan pertandingan ketiga-tiga permainan, para pengunjung juga berpeluang untuk membawa pulang pelbagai hadiah menarik cabutan bertuah yang disediakan seperti kerusi gaming Todak, gaming keyboard Sades, gaming headset Sades, Acer laptop juga kredit e-wallet Boost bernilai RM 1,000.

Istimewa buat kemuncak XPAX KEK, orang ramai telah dihiburkan dengan persembahan hebat dari artis-artis tanah air menyanyikan lagu-lagu hit mereka seperti Indah Ruhaila, Ara Johari, Andi Bernadee, dan Bittersweet. Turut mengadakan persembahan adalah Syafiq Abdilah, Yus Zainal, Kid Raw dan Aina Abdul.

Kejohanan yang berlangsung selama dua hari iaitu pada Jumaat dan Sabtu ini telah menyaksikan 48 pasukan mewakili IPT masing-masing bersaing bagi merebut gelaran juara bagi setiap kategori permainan sekaligus gelaran juara keseluruhan.

Tidak hanya untuk berseronok dan memperkasakan industri e-sukan yang sedang meningkat naik, XPAX KEK dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) turut mengangkat konsep ‘healthy gaming’ melalui kandungan aktiviti yang disediakan.

Selain itu, institusi pengajian tinggi dengan pasukan menang paling banyak juga berpeluang menerima sebahagian daripada biasiswa bernilai RM 50,000, dibawakan oleh jenama terkemuka Celcom, XPAX, sebagai salah satu inisiatif mereka dalam memperkasa e-sukan. Selain XPAX, Predator, Todak, Boost, Sades, Cadbury 5 Star dan Mountain Dew turut bersama menjadi rakan penaja XPAX KEK.

 

Senarai Pemenang Grand Final XPAX KEK 2019 Semester 1

Pro Evolution Soccer (PES) 2019

Juara: E-UKM FC (UKM BANGI)

Naib Juara: GLHF (Unisel)

Ketiga: FYP Fighters (UNIKL) MITEC Pasir Gudang.

Keempat: UTeM Knight (Universiti Teknikal Malaysia, Melaka)

Dota 2

Juara: KISA (IIUM Kuantan)

Naib Juara: Geng Bus Sekolah (MMU Melaka)

Ketiga: UTeM Tuah (UTeM)

Keempat: UNIMAS eSports (UNIMAS)

Mobile Legends Bang Bang

Juara: Ultra Instinct (UKM)

Naib Juara: UMSKAL E-SPORT (Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan)

Ketiga: Team PYRO (Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah)

Keempat:  Invictus Gaming PKB (Politeknik Kota Bharu)

XPAX Hackathon

Juara : Team Synapse (Universiti Teknologi PETRONAS , UTP)

Naib Juara : The Bunga (UiTM Puncak Perdana, Selangor)

 

JUARA KESELURUHAN – Biasiswa RM 50,000 tajaan XPAX

1 – Universiti Malaysia Sabah (UMS)  – RM 25,000

2 – Universiti Teknikal Malaysia (UTEM Melaka) – RM 12,500

3 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – RM 7,500

4 – Universiti Islam Antarabangsa, Kampus Kuantan (IIUM Kuantan) – RM 5,000

-Tamat-

 

Pertanyaan Media:

Dhiya Aizat   

Lead, Communications, Media Prima Digital

dhiya.aizat@mediaprima.com.my

 

Tentang MyGameOn

Media Prima Labs launches its gaming portal, MyGameOn that provides news, reviews and events for games, featuring both local and international content. MyGameOn is built to serve as a comprehensive local game news portal that focuses on relevant game content to Malaysian audience. MyGameOn targets urban and sub-urban customers ranging from 12 to 25 years old who love gaming or stays up-to-date on the latest trend or news related to games and game tournament. MyGameOn is the one stop centre to all game lovers out there

Tentang XPAX

XPAX is Celcom Axiata Berhad’s youth brand with almost 6.1 million prepaid subscribers. A brand that enables youths to be who they want to be, XPAX offers the best value and unbeatable non-stop internet experience. With XPAX, customers can enjoy more internet, simplified add-ons and more.