Petaling Jaya, 11 Oktober 2021 – Kegiatan ekonomi di Malaysia nyata terkesan setelah hampir dua tahun pandemik Covid-19 melanda dunia terutamanya terhadap Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Peralihan ke fasa endemik sedikit sebanyak memberi sinar baru kepada industri PKS dan para usahawan.

Berita Harian (BH) dan REV Media Group telah mengambil inisiatif untuk membantu para usahawan PKS dengan menganjurkan Forum Perniagaan PKS BH 2021 bertujuan mengupas persoalan serta iltizam untuk terus bangkit, mendepani cabaran masa depan PKS.

Terdapat hampir 960,000 PKS di Malaysia yang terkesan sepanjang pandemik ini sehingga ada yang terpaksa gulung tikar. Sebagai penyumbang 48% keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan menyediakan tujuh juta peluang pekerjaan, PKS harus mampu berdaya saing kembali.

Forum Perniagaan PKS BH 2021 yang bakal berlangsung selama dua hari pada 14 dan 15 Oktober ini mengumpulkan ahli panel jemputan yang arif dalam industri PKS bagi memaklumi masalah dan realiti sebenar pengusaha PKS, mengenal pasti usaha yang boleh dilakukan PKS seterusnya membincangkan inisiatif dan galakan pelbagai pihak untuk menyokong proses pembangkitan semula PKS.

Antara pakar industri yang terlibat berkongsi pandangan dan idea, pengalaman dan cabaran adalah Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Mahadhir Aziz, Ketua Jualan & Pengurusan Akaun Perniagaan Celcom Axiata Berhad, Iskandar Dzulkarnain Abd Razak, Ketua Pegawai Kewangan, Bukit Bintang City Centre (BBCC), Farizal Zainudin dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Nainy.

“Pendigitalan operasi perniagaan telah menjadi satu keperluan kepada PKS untuk terus kukuh dan berdaya saing dalam persekitaran perniagaan global yang sentiasa berubah seiring dengan perkembangan teknologi. 

 “Sebagai peneraju ekonomi digital negara, MDEC sedia menyokong transformasi digital PKS di Malaysia menerusi pelbagai inisiatif di bawah kempen #SayaDigital, yang selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL),” kata Mahadhir Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC.

Turut sama menjayakan forum ini adalah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Keusahawanan Negara, Muhd Firdaus Azharuddin, Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO), Datuk Ameer Ali Mydin, pengasas Terato Tech, Reza Razali dan pengasas Sugarbomb, Ahmad Azhari Rosli di mana mereka akan berkongsi kisah jatuh bangun mereka dalam perusahaan yang dilakukan.

Terdapat lima sesi forum yang dipecahkan kepada dua hari (2 forum pada hari pertama dan 3 forum pada hari kedua) akan disiarkan secara langsung menerusi laman web mikro Forum Perniagaan PKS BH 2021, dan orang ramai yang ingin menyaksikannya boleh mendaftar di https://www.bharian.com.my/bhsme di mana mereka boleh turut serta dengan bertanyakan soalan, berkongsi pengalaman dan meninggalkan komen ketika forum berlangsung.  

Celcom, MDEC dan Malaysia Grand Bazaar tampil selaku rakan penaja dalam forum yang akan menampilkan Fiza Sabjahan dan Datin Seri Fazilah Hani Harun sebagai hos dan moderator.

-TAMAT-

Media Contact:
Muhammad Faisal (Petch)
Communications, REV Media Group
faisal.noor@revmedia.my 

Mengenai REV Media Group

REV Media Group adalah penerbit digital terkemuka di Malaysia, mewakili lebih 30 jenama terbaik dengan rangkaian yang luas menjangkau lebih 15 juta orang setiap bulan, sekitar 75% dari jumlah keseluruhan populasi internet di Malaysia.

Di REV Media Group, kami percaya dengan pemanfaatan kekuatan teknologi dan data untuk menyampaikan kandungan menarik buat audiens kami dari pelbagai platform dan bahasa terdiri daripada Berita, Hiburan, Gaya Hidup, Teknologi dan banyak lagi.

Dengan memanfaatkan jangkauan dan platform kami yang komprehensif, kami berusaha untuk membawa jenama-jenama ke tahap yang lebih baik melalui penyelesaian pemasaran digital berdasarkan data  yang berpengaruh dan kandungan luar biasa khusus untuk memberi yang terbaik buat para pengguna kami.