Kolaborasi Pertama REV Media Group dan Universiti Teknologi MARA Usaha Perkukuh E-sukan Dalam Kalangan Pelajar dan Institusi Pengajian Tinggi

Kuala Lumpur, 14 Ogos 2020 – Peningkatan kemajuan industri e-sukan negara telah membawa kepada satu perjanjian persefahaman yang telah ditandatangani antara Rafiq Razali, Ketua Pegawai Eksekutif, REV Media Group dan Prof. Emeritus Datuk Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM)  bagi memeterai hubungan kerjasama di antara kedua pihak untuk menguatkan, menggalakkan dan membangunkan bidang akademik, kebudayaan, dan penyelidikan atas dasar keuntungan bersama dan saksama.

Disaksikan oleh Dato’ Iskandar Mizal Mahmood, Pengarah Urusan Kumpulan, Media Prima Berhad dan  Prof. Dr. Azizan Abdullah, Timbalan Naib Canselor, UiTM, kerjasama simbiotik dari REV Media Group dan UiTM ini akan bersama-sama mendidik, memupuk dan memberi pendedahan tentang industri ini terutamanya kepada golongan akademik dan mahasiswa serta pada masa yang sama menyokong inisiatif permainan dan e-sukan kerajaan.

“Kami sedar akan potensi yang dimiliki oleh para pelajar institusi pengajian tinggi dan kami percaya bahawa industri e-sukan di Malaysia akan dapat terus berkembang lebih maju. Lihat saja dari penerimaan yang kami terima melalui Kejohanan E-sukan Kampus yang telah pun melabuhkan tirai buat semester ketiga baru-baru ini. Sambutan yang sangat luar biasa memberi gambaran bahawa kolaborasi ini juga akan turut berjaya. Komitmen UiTM dalam memperkasakan e-sukan memberi inspirasi kepada kami untuk terus bersama-sama membangunkan pelbagai program bersama bagi memupuk bakat e-sukan tempatan”, kata Rafiq Razali, Ketua Pegawai Eksekutif, REV Media Group.

Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Datuk Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim juga turut menambah, “Harapan saya agar program e-sukan lebih banyak dianjurkan dan diperluaskan hingga ke peringkat antarabangsa. Saya juga berharap agar usahasama ini mampu membuka mata lebih ramai pihak untuk menjalinkan kerjasama dan dapat menerima e-sukan bukan sahaja sebagai aktiviti sukan yang sihat tetapi juga sebagai peluang menjana pendapatan dalam sektor e-sukan negara”.

Melalui perjanjian persefahaman ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk menggalakkan kerjasama antarabangsa di dalam bidang akademik seperti mengadakan pelbagai program di UiTM, pertukaran maklumat berkenaan perkembangan di dalam penyelidikan, teknologi dan e-sukan, pembangunan pelajar dan institusi-institusi penyelidikan.

Selain itu, perjanjian persefahaman ini juga akan menubuhkan kerjasama untuk membangunkan ‘esports hub labs’ di CMT Hub UiTM bagi pembangunan elektronik dalam kalangan pelajar UiTM di samping menjalin kerjasama bagi menganjur program Kejohanan E-sukan Kampus (KEK) di mana MPD sebagai penganjur utama manakala UiTM sebagai rakan strategik bahagian pelajar dan universiti.

Selari dengan usaha kedua-dua pihak dalam memapankan e-sukan, perjanjian persefahaman ini akan menyaksikan kerjasama antara kedua-dua pihak dalam penganjuran lebih banyak program e-sukan atau mempromosikan industri e-sukan, gaming dan media di UiTM.

 

-TAMAT-

Pertanyaan Media:

Muhammad Faisal (Petch)           

Communications, Executive, REV Media Group

faisal.noor@revmedia.my | 0176283626

Mengenai REV Media Group

REV Media Group adalah penerbit digital terkemuka di Malaysia, mewakili lebih 30 jenama terbaik dengan rangkaian yang luas menjangkau lebih 15 juta orang setiap bulan, sekitar 75% dari jumlah keseluruhan populasi interneti di Malaysia.

Di REV Media Group, kami percaya dengan pemanfaatan kekuatan teknologi dan data untuk menyampaikan kandungan menarik buat audiens kami dari pelbagai platform dan bahasa terdiri daripada Berita, Hiburan, Gaya Hidup, Teknologi dan banyak lagi.

Dengan memanfaatkan jangkauan dan platform kami yang komprehensif, kami berusaha untuk membawa jenama-jenama ke tahap yang lebih baik melalui penyelesaian pemasaran digital berdasarkan data  yang berpengaruh dan kandungan luar biasa khusus untuk memberi yang terbaik buat para pengguna kami.

Mengenai UiTM

Sebagai universiti komprehensif terbesar di Malaysia, Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah mempertingkatkan ketampakanya melalui kerjasama dengan universiti di seluruh dunia. Ia terus menyediakan akses kepada pendidikan tinggi, memainkan peranannya dalam membina negara dengan MENYERLAHKAN POTENSI, MEMBENTUK MASA HADAPAN.

Dalam menyediakan pendidikan inovatif di 35 kampus dan 26 fakulti di seluruh Malaysia, UiTM menawarkan lebih daripada 500 program akademik di peringkat Asasi, Pra-Diploma, Diploma, Sarjana Muda, Sarjana, dan PhD, serta Program Profesional. Kini, UiTM adalah sebuah institusi pengajian tinggi terkemuka yang terbukti menjadi pilihan pelajar. Antara pencapaian terhebat, pada tahun 2020, UiTM menduduki tempat ke-119 dalam QS Asia University Ranking dan kedudukan 651-700 dalam QS World University Ranking, memenangi Anugerah Emas dalam kategori universiti awam Reader’s Digest Trusted Brand 2019 dan 9 daripada subjeknya tersenarai  dalam QS World University Ranking 2019.

Dengan lebih daripada 800,000 alumni dalam bidang sains, teknologi, kemanusiaan dan keusahawanan, UiTM menawarkan peluang dalam membentuk pemimpin di peringkat kebangsaan, industri dan global dalam mencapai aspirasi untuk menjadi sebuah UNIVERSITI TERKEMUKA DUNIA menjelang 2025.